Tuesday 29 May 2012

UNDANG-UNDANG BERKAITAN PENGGUNAAN MEDIA SOSIAL 1


 
Terdapat undang-undang terkandung di dalam beberapa akta di Malaysia yang mengawal penggunaan media sosial. Undang-undang ini bertujuan untuk mengawal tindak-tanduk seseorang di alam maya supaya tidak melebihi had-had yang mampu menimbulkan perbuatan yang dilarang disisi undang-undang. Terdapat banyak akta-akta yang berkaitan dengan penggunaan media sosial antaranya ialah:
a)  Akta Tandatangan Digital 1997- akta ini bertujuan untuk mengawal penggunaan tandatangan digital, menjamin keselamatan bagi hal-hal yang berkaitan perdagangan elektronik dan mengesahkan penggunaan tandatangan digital melaui sijil perakuan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa pensijilan. Antara produk atau rangkaiaan yang mendapat perlindungan akta ini ialah e-mail, laman web, pelayan perkhidmatan dalam talian dengan menggunakan teknologi enkripsi Secure sockets Layer (SSL) dan Secure Electronic Transaction (SET).
b)  Akta Jenayah Komputer 1997- akta ini mengandungi peruntukkan berkaitan dengan kesalahan  penyalahgunaan komputer bertujuan untuk melakukan jenayah. Di dalam akta ini dinyatakan bahawa  akses secara tidak sah atau mengubah apa-apa program atau data yang terdapat di dalam sesebuah komputer adalah salah dan boleh dikenakan hukuman. Akta ini juga berkesan kepada apa-apa jenayah yang dilakukan di luar Malaysia walaupun kesalahan tersebut dilakukan oleh seseorang atau dari sesuatu tempat di luar Malaysia selagi mana komputer, program atau data tersebut adalah berada di Malaysia atau boleh dicapai, dihubungkan atau digunakan dengan komputer di Malaysia.
c)  Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 – akta ini mengawal aktiviti-aktiviti dan perkhidmatan-perkhidmatan seperti penyiaran tradisional, telekomunikasi dan perkhidmatan atas talian, termasuk kemudahan dan rangkaian yang digunakan dalam memberikan perkhidmatan tersebut, serta kandungan yang dibekalkan menerusi kemudahan-kemudahan dan rangkaian tersebut. Selain itu, akta ini turut mengawalselia aktiviti yang mengandungi unsur-unsur lucah, sumbang, palsu mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera orang lain. Bagaimanapun, tiada peruntukan di dalam akta ini yang membenarkan penapisan Internet.
d)  Akta Hakcipta (Pindaan) 1997- akta ini dikuatkuasakan bertujuan untuk melindungi pencipta dan penerbit sesuatu karya . orang yang berkarya mempunyai hak-hak ekslusif yang tertentu iaitu karya tersebut tidak boleh dikeluarkan semula, tidak boleh disampaikan kepada orang awam, tidak boleh digunakan oleh orang awam, tidak boleh diedarkan dalam salinan dan tidak boleh disewa secara komersial. Antara karya yang mendapat perlindungan akta ini ialah karya sastera, muzik, seni, filem, rakaman bunyi dan penyiaran. Secara umumnya, hak cipta bagi karya-karya seperti sastera, muzik atau seni wujud sepanjang hayat sehingga 50 tahun selepas kematian pengkarya tersebut. Manakala bagi karya-karya lain pula, jangka masa hak cipta ialah sehingga 50 tahun selepas karya itu mula-mula diterbitkan.
e)  AKTA FITNAH 1957: mengawal segala informasi atau penulisan dan sebagainya yang mempunyai unsur-unsur fitnah.
f) AKTA PERLINDUNGAN DATA PERIBADI 2010: berfungsi dalam memastikan data peribadi mereka tidak disalah guna oleh pihak berkepentingan.
Telah sedia maklum bahawa media sosial mempunyai kekuatan dan kelemahannya sendiri. Dengan saiz pengguna atau pengikutnya yang besar, kerajaan dan individu perlulah menggunakannya secara kreatif dan inovatif. Disamping itu ianya perlu dikawal dengan baik melalui undang-undang yang wujud supaya dapat mengelakkan penyalahgunaan kemudahan media sosial ini.

(NAQIAH BINTI AZIZAN)
DUNIA SIBER DUNIA DI HUJUNG JARI

No comments:

Post a Comment