Wednesday 30 May 2012

Media Sosial dan Implikasi Undang-undang [Sekatan Atas Kebebasan]

Media sosial pada hari ini telah bertindak sebagai cara untuk berhubung kait dengan kawan-kawan dan sebagai satu medium baru dalam dunia perniagaan. Contoh alat media sosial termasuk Facebook, Twitter, LinkedIn, MySpace, blog seperti WordPress dan Blogger, serta Youtube dan sebagainya. Kemudahan media sosial telah mengubah cara kehidupan kita pada hari ini. Walau bagaimanapun, menulis dan menerbitkan artikel semata-mata tanpa pemeriksaan boleh menyebabkan seseorang individu atau syarikat terbabit dalam tuntutan mahkamah. Undang-undang yang mengawal perbuatan dalam kehidupan seseorang telah diperluaskan ke dunia siber.

Dalam sebuah kes pada tahun 2012, Datuk Mohamad Salim Fateh Din v R. Nadeswaran, seperti yang dilaporkan dalam New Straits Times pada bulan Mei ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengarahkan wartawan atau defendan dalam kes ini membayar ganti rugi sebanyak RM500, 000 kepada plaintif atas sebab menerbitkan dua Tweets di atas Twitter yang bersifat fitnah antara Julai dan Disember 2010. Telah dilaporkan bahawa kes ini telah dilihat sebagai satu precedent undang-undang di Malaysia terhadap libel siber melalui penggunaan Twitter kerana kes ini adalah kes pertama yang memberi kehakiman yang seumpama di negara ini.

Satu lagi kes pada tahun 2011 di mana kes ini melibatkan seorang aktivis sosial, Fahmi Fadzil yang dilaporkan bertindak menerbitkan post yang bersifat fitnah terhadap seorang penerbit perempuan di sebuah majalah, Blulnc Media & Female Magazine. Kes ini telah diselesaikan di luar mahkamah. Akibat perkataan fitnah yang ditulis oleh beliau, beliau terpaksa memohon maaf 100 kali di atas Twitter terhadap penerbit majalah tersebut, di mana pada masa tersebut beliau mempunyai kira-kira 4,200 pengikut Twitter.

Dengan undang-undang kesalahan terhadap fitnah, hasutan dan sebagainya diperluaskan kepada media sosial, kebebasan yang lazimnya dimiliki oleh pengguna internet menjadi terhad dan tertakluk kepada undang-undang. Ini telah dikatakan akan membawa impak dan kesan kepada pengguna media sosial dan menjejaskan cara mereka berkelakuan di atas media sosial. Hal ini demikian kerana ia menjadi terlalu mudah untuk terjerumus ke dalam kategori liabiliti dari segi undang-undang sivil dan kesalahan jenayah.

Dahulu, perkataan dan artikel ditulis tanpa perlu diperiksa sebelum diterbitkan di media sosial serta tanggungjawab terhadap apa yang ditulis di atas internet bukanlah satu isu. Walau bagaimanapun keadaan berubah pada masa kini. Sebagai contoh, untuk membuktikan kesalahan fitnah, seseorang itu perlu membuktikan bahawa terdapat penerbitan kepada orang ramai mengenai perkataan yang berfitnah, dan sekarang, dengan sifat media sosial yang sangat mudah menerbit artikel, ia menjadi terlalu mudah untuk memenuhi elemen ini.

Apa yang telah membimbangkan para pengguna internet ialah sekatan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas media sosial akan menjadi satu ancaman kepada pengguna media sosial. Pengguna diminta untuk bertanggungjawab terhadap segala yang  ditulis oleh mereka dan segala yang ditulis mesti dibuktikan kebenarannya terleh dahulu.

Seperti pensyarah kanan di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia, Dr Adrian M. Budiman, berkata "Sosial media bukan lagi satu media yang bebas dan apa-apa yang ditulis mungkin mempunyai implikasi undang-undang".

Ditulis oleh Chong Chyaw Yee.

No comments:

Post a Comment