Showing posts with label Afiq. Show all posts
Showing posts with label Afiq. Show all posts

Thursday, 31 May 2012

PENGUMUMAN!!!!!!!!

Parlimen telah menetapkan bahawa pindaan seksyen 114A Akta Keterangan (Pindaan) 2012 bakal dikuat kuasakan bermula 1 Jun 2012 dalam usaha untuk menjadikan rakyat lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti di atas talian memandangkan medium media sosial ini semakin berkembang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Tambahan pula, semakin menjadi-jadi isu pengguna Internet yang menggunakan nama samaran atau ketanpanamaan oleh pihak-pihak yang ingin melakukan jenayah siber. Hal ini amat sukar bagi pihak berkuasa tempatan untuk mengambil tindakan terhadap pegguna-pegguna Internet seperti ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pernah menyatakan bahawa,
“Penggunaan nama samaran (oleh mana-mana pihak) amat menyukarkan pihak pegawai penyiasat untuk menjalankan siasatan dan penguatkuasaan kerana amat sukar untuk mendapatkan keterangan daripada nama samaran. “Itulah kita terpaksa meminda Akta ini supaya kita dapat mendakwa dan mentaksirkan kesalahan kepada mereka yang menggunakan nama samaran,”
Pindaan yang bakal dilaksanakan ini telah menetapkan bahawa para pengguna Internet akan bertanggungjawab terhadap sebarang kandungan yang dihantar ke internet melalui rangkaian ataupun peranti mereka. Misalnya, jika mana-mana pengguna menghantar sebarang ulasan pada blog, laman Facebook atau akaun twitter dan lain-lain maka anda akan dipertanggungjawabkan ke atas sebarang perkara yang dikongsikan melalui medium media sosial tersebut.
Selain itu, pindaan tersebut turut menetapka sekiranya seseorang memulakan halaman Facebook, Twitter, blog mahupun apa-apa medium media sosial yang lain dengan menggunakan nama dan gambar anda dan menerbitkan kandungan yang bertentangan dengan undang-undang serta memfitnah seseorang melaluinya, maka anda akan didapati bersalah. Dalam hal ini, jika anda tidak bersalah anda perlu membuktikan sebaliknya.
Kesimpulannya, masyarakat haruslah menjaga dan mengguna peranti dan rangkaian internet dengan sebaik mungkin dan perlu berhati-hati dalam menggunakan kemuadahan media sosial ini. Jangan jadikan alam maya ini sebagai musuh kepada negara dan masyarakat, seperti racun yang merebak sehingga tidak terkawal lagi dan boleh menggoyahkan keharmonian negara tercinta.

Tuesday, 29 May 2012

Kuasa Magis Media Sosial

Hai semua! Ha jangan terkejut lah kenapa saya ada kat sini. Kali ini saya ingin berkongsi dengan anda semua tentang artikel yang ditulis oleh saudara Syahrul Nizam Junaini, seorang Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer Dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tentang evolusi media sosial yang saya rasa agak menarik untuk dibaca disamping memberi pengetahuan yang baru untuk kita semua. :)


Cetusan revolusi Internet yang bermula sekitar tahun 1990-an telah berjaya mengubah landskap sosioekonomi dunia. Letusannya yang hebat bak gunung berapi di Iceland telah merubah cara kita bekerja, berkomunikasi, bersosial, malah berhibur. Daripada remaja berkulit putih di restoran Starbucks di Broadway, New York hinggalah remaja kulit sawo matang di makmal komputer sekolah di tanah tinggi Bario, Sarawak — kedua-dua kumpulan ini sama-sama merasai gegaran revolusi tersebut.

Namun tanpa disedari, gempa susulan daripada gegaran itu sedang dan bakal kita rasai. Gempa itu membawa satu lagi fenomena hasil kerja tangan pemain industri media versi 2.0 atau media sosial. Kini media sosial menjadi buah mulut, bermula dengan tarikan blog dan kini disusuli oleh magnet Facebook.
Malah dalam tempoh kurang tiga tahun kewujudannya, aktiviti bersosial secara maya berjaya menjadi aktiviti paling popular di Internet. Sebelum ini carta aktiviti Internet sekian lama telah diungguli aktiviti muat turun bahan pornografi. Jadi, apakah jampi yang ada pada media sosial yang menjadikannya senjata yang begitu ampuh?
Buktinya, lihatlah betapa bijaksana Presiden Barack Obama menjinakkan media sosial lalu mengenderainya ke Rumah Putih. Daripada seorang senator yang kurang popular pada 2004, kini beliau muncul menjadi antara ikon kulit hitam paling menonjol dalam sejarah dunia.
Sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden 2008, pengundi muda yang menghabiskan masa berjam-jam melayari blog dipukau supaya singgah ke blog parti Demokratik. Mereka disuntik dengan mesej retorik yang menjadi nadi kepada karisma dan pengaruh beliau.
Serentak dengan itu, entiti perniagaan mula berbondong-bondong terjun dalam lautan biru ciptaan Facebook. Dari segi sejarah, laman media sosial paling popular di dunia ini telah diasaskan oleh Mark Zuckerberg pada 2004. Beliau cuma merupakan seorang mahasiswa muda ketika itu.
Beliau pada mulanya menetapkan Facebook hanya bagi kegunaan eksklusif rakan-rakannya di Harvard University. Namun kemudian Facebook diluaskan penggunaannya ke universiti lain seperti di Yale University dan Massachusetts Institute of Technology (MIT).

Semenjak itu Facebook terus meletup lalu menaiki tangga populariti antara khidmat rangkaian sosial yang paling terkenal di Internet. Kesannya kini sudah melebihi 400 juta pengguna berdaftar Facebook di seluruh dunia, menandingi MySpace, Friendster dan LinkedIn. Malah jika Facebook disamakan sebagai sebuah negara, jumlah populasinya kini adalah yang ketiga paling banyak selepas China dan India. Sebagai perbandingan, laman sosial LinkedIn yang bersifat agak serius cuma mempunyai sekitar 8.5 juta pengguna. Di Malaysia pula, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh CheckFacebook.com, jumlah pengguna Facebook sudah mencecah satu juta orang.
Selain itu, jumlah laman di Facebook sudah mencecah tiga juta. Dari pasar raya besar (hypermarket) seperti TESCO, sehingga ke pasar peniaga ikan terubuk masin, semuanya berlumba-lumba menambah bilangan peminat setiap hari. Satu perkara yang pasti ialah media sosial menjadi jambatan yang menghubungkan pengeluar terus kepada prospek atau pelanggan.

Hal ini sekali gus menafikan peranan iklan dalam media tradisional seperti televisyen yang mencecah puluhan ribu ringgit kos masa siarannya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah mengapa Paul Dunay, Pengarah Urusan di syarikat Avaya, berpendapat bahawa Facebook telah mengubah keaslian proses pemasaran.
Di samping itu, berdasarkan penyelidikan terkini terhadap 1 700 orang responden oleh Dr. Utpal Dholakia dari Rice University, syarikat yang menggunakan Facebook didapati berjaya menaikkan jumlah jualan produk atau perkhidmatan.

Bukan itu sahaja, kajian yang diterbitkan dalam Harvard Business Review ini menyatakan bahawa Facebook mampu mempromosikan jenama dan yang lebih penting ialah mengekalkan kesetiaan pengguna.
Selain itu, perkembangan terkini terutama yang bersifat tempatan bagi sesuatu peristiwa boleh dibaca pada dinding umum (wall) di Facebook. Malah kadang-kadang hebahan ini mendahului ketangkasan wartawan akhbar bercetak.

Natijahnya berita sampai kepada kita tanpa perlu diminta. Malah disediakan oleh kenalan kita sendiri (tanpa perlu diupah). Keadaan ini memadamkan sejarah yang dahulunya kita terpaksa beratur bagi membeli akhbar bercetak. Senario ini juga mencetuskan persoalan berkaitan kemandirian media cetak dan majalah yang mungkin bakal berkubur lusa jika tidak esok.

Dari segi rangkuman pula, walaupun Facebook mengehadkan jumlah rakan cuma kepada 5 000 orang, apabila saling berangkai, jumlahnya jauh lebih tinggi. Hal ini adalah kerana setiap rakan mempunyai maksimum 5 000 orang rakan yang lain.

Selain itu, kebergantungan kepada media tradisional seperti siaran televisyen percuma juga semakin terhakis. Kesannya pengendali stesen televisyen juga terpaksa tunduk, akur dengan kehebatan Facebook. Buktinya, kebanyakan rancangan televisyen terutama yang bersifat temu bual mengambil input daripada peminat lamannya melalui Facebook. Sebagai contoh, semasa majlis angkat sumpah Presiden Obama, laporan yang disiarkan langsung oleh Cable News Network (CNN) mendapat 8 500 komen dan bilangan kemas kini status bagi setiap minit di Facebook.
Walaupun secara umum Facebook berjaya menjadi tempat lepak maya rasmi bagi golongan remaja dan belia, statistik pada Februari 2009 pula menunjukkan media ini juga digemari golongan berumur. Buktinya salah satu segmen pengguna yang paling pantas berkembang ialah wanita berumur 55 tahun ke atas.

Selain itu, Facebook juga menawarkan platform pengiklanan percuma bagi mereka yang bijak menggunakannya. Fungsi fan page, group, event dan sebagainya sangat berkesan jika digunakan dengan betul. Namun, bagi mereka yang ingin menyerahkan kerja periklanan produk mereka kepada Facebook, mereka dikenakan bayaran berdasarkan bilangan kali iklan mereka diklik atau dipaparkan.

Justeru model niaga (business model) juga harus bergerak seiring kepantasan maklumat bergerak. Jika tidak, para pelanggan akan mengambil inisiatif sendiri bagi mendapatkan maklumat yang diingini mereka, hanya melalui media sosial. Sejurus dengan itu, Facebook juga bijak memanipulasi kewujudannya di alam maya. Laporan terkini oleh Reuters mencatatkan bahawa keuntungan hasil aktiviti perniagaan oleh Facebook mencecah AS$700 juta (RM2260.65 juta) bagi tahun kewangan 2009.

Selain itu, jelas sekali bahawa kita kini berada dalam era demokrasi dan sosial berbentuk digital. Sesiapa sahaja yang bijak mengurus kewujudannya dalam media sosial akan menjadi pemegang tampuk kuasa.

Kesimpulannya, media sosial kini sudah berjaya merasuk kehidupan kita. Malah ada yang terleka sehingga keutamaan tugas dan kewajipan lain terjejas akibat terminum racun Facebook. Bagaimana pula kadar ketagihan anda terhadap Facebook? Jika anda tidak senang duduk sepanjang hari selagi tidak dapat mengemas kini status di dinding umum, itu tandanya anda mungkin sudah tersihir dengan kuasa magis Facebook.

'Ketagih Facebook takpe jangan ketagih benda tak elok sudahla'. lalala~

(AFIQ NAZRIN ZAHARINAN)

Media Sosial: Antara Fakta & Dakyah.


KUALA LUMPUR – Populariti media sosial sebagai penyebar maklumat pada kalangan belia khususnya bukan satu mitos, apatah lagi rata-rata anak muda dapat dilihat ralit dengan telefon pintar mereka tanpa mengira tempat.
Tinjauan rambang mendapati kelompok berusia antara 18 dan 40 tahun ini yang meliputi 40 peratus penduduk negara, banyak bergantung kepada media sosial seperti Twitter, Facebook dan blog serta portal berita sebagai sumber maklumat.
Namun, jangan terkejut jika dikatakan tidak semua menerima bulat-bulat berita yang disebar menerusi laman terbabit, sebaliknya ramai yang berusaha memastikan kesahihan maklumat termasuk merujuk kepada media arus perdana yang kini mudah diakses menerusi internet.
Berkongsi pandangannya dengan Bernama, Ranes Subramaniam, 27, berkata walaupun maklumat diperolehi dengan cepat menerusi media sosial, seseorang itu harus menggunakan budi bicara dan pemikiran yang rasional dalam menilainya.
Pengurus kewangan itu berkata memandangkan limpahan maklumat di internet mudah diakses, amat penting bagi pengguna memastikan maklumat berkenaan boleh dipercayai.
“Apabila saya membaca sesuatu maklumat yang disebarkan menerusi Twitter, perkara pertama yang saya lakukan ialah mencari berita rasmi dan saya bandingkan kedua-duanya bagi memastikan perkhabaran itu tulen.
“Maklumat daripada media sosial tidak boleh dipercayai sepenuhnya kerana ada yang melibatkan emosi, fahaman politik malah perasaan benci kepada parti atau pemimpin politik,” katanya.
Ranes berkata walaupun sosial media alat yang berkesan sebagai bahan bacaan alternatif, laman terbabit juga boleh disalah guna sesetengah orang termasuk ahli politik untuk menyebarkan dakyah mereka.
“Laman terbabit sepatutnya digunakan untuk berhubung dengan orang ramai bagi membincangkan dasar negara, bersetuju atau tidak bersetuju mengenainya dan banyak lagi. Dengan cara ini, dapat membantu meningkatkan kesedaran umum,” katanya.
Bagi Norsyafiqah Abu Samah, 24, yang mengaku ‘penagih’ media sosial, beliau berasa tidak selesa untuk hanya bergantung kepada maklumat daripada media sosial.
Bakal doktor dari Universiti Kuala Lumpur itu yang juga seorang penulis blog, berkata media arus perdana masih relevan sebagai sumber sahih.
“Saya dan kawan-kawan di kampus tidaklah begitu naif untuk percaya bulat-bulat maklumat daripada internet, khususnya media sosial. Banyak lagi sumber lain yang boleh dipercayai untuk mendapat maklumat tepat dan media sosial hanya satu daripadanya,” kata Norsyafiqah.
Bersetuju dengan beliau ialah penuntut Universiti Selangor, Muhammad Zaidi Maarof, 25, yang berkata kelonggaran polisi kerajaan mengenai internet wajar dimanfaatkan pengguna untuk mengupas lebih mendalam sebarang isu yang disebarkan medium itu.
Bagi pemerhati politik Khairuddin Mohd Zain, generasi muda kini lebih berhati-hati dalam menerima maklumat serta tahu berfikir secara rasional dan mendalam mengenai sesuatu isu sebelum membuat keputusan mengenainya.
Khairuddin yang juga anggota jawatankuasa alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata belia hari ini bijak menapis maklumat yang diterima baik mengenai politik, ekonomi, pendidikan atau agama.
Beliau juga menegaskan ahli politik dan pembuat dasar wajar menggunakan saluran ini untuk berhubung dengan orang ramai bagi mendapatkan maklum balas.
“Ahli politik sama ada dari parti yang memerintah atau pembangkang, sepatutnya tahu…Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) membawa politik ke dimensi baru apabila beliau sendiri aktif menggunakan rangkaian sosial.
“Ini bermakna beliau berani meruntuhkan benteng antara pemimpin dan orang awam, dan bersedia menerima kritikan langsung jika rakyat berasakan polisinya tidak dilaksanakan dengan baik. Saya anggap ini sebagai bertanggungjawab dan telus,” katanya.
Justeru katanya, ahli politik termasuk Ahli Parlimen, pemimpin akar umbi atau badan bukan kerajaan juga harus memikul tanggungjawab mempromosikan cara lebih sihat menyebarkan malumat, memandangkan orang ramai memilih untuk mendapatkan maklumat secara terus daripada mereka.
Bagi pemimpin Belia 4B, Badrul Hisham Badruddin, jika penyebaran maklumat menerusi media sosial tidak dilakukan secara berhati-hati, pada akhirnya golongan muda akan menjadi lebih keliru.
“Ada terlalu banyak sumber…anda cuma perlu ‘google’ untuk apa sahaja yang anda mahu tahu dan maklumat mengenainya muncul sekelip mata, tetapi bagaimana mahu pastikan itu fakta sebenar?
“Bagi saya, media arus perdana masih boleh dipercayai, namun ini tidak bermakna kita tidak boleh terlibat dalam media sosial. Contohnya Bernama ada laman Facebook dan akaun Twitter sendiri.
“Paling penting di sini ialah melibatkan diri dan orang ramai akan menggunakan media sosial untuk mendapatkan berita daripada media arus perdana,” katanya.
Berdasarkan statistik 78 juta ‘hit’ pada laman web Bernama.com bagi bulan Januari dan Februari lalu, barangkali tidak keterlaluan jika dikatakan semakin ramai kembali merujuk kepada media arus perdana sebagai sumber berita yang bertanggungjawab dan tidak berat sebelah. – BERNAMA
'Terlajak perahu boleh diundur,
 Terlajak kata buruk padahnya'
(AFIQ NAZRIN ZAHARINAN)